MUJAHID HARAKI - JILUL QURAN

"...Kita bukanlah pemula atau pengakhir perjuangan Nabi s.a.w tapi, kita adalah mata-mata rantai pada perjuangan Rasulullah..

Tuesday, April 22, 2008

IMTIHAN SATU PENILAIAN

 Periksa..Imtihan..Ujian…Itulah perkara yang berlegar dibenak kepala setiap mahasisiwa dan mahasiswi di bumi Anbiya ini. Berbagai persediaan yang telah dibuat oleh setiap mahasiswa dan mahasisiwi. Berbagai kaedah dan cara untuk menghadapi imtihan. Namun sedarkah kita bahawa setiap manusia termasuk kita semua sedang menghadapi imtihan yang sangat besar. Sebenarnya kita ini berada di ‘dewan imtihan agung’ tanpa sempadan iaitu bumi ini yang mana telah bermulanya imtihan agung ini sejak kita telah mencapai tahap baligh. Masa imtihan ini berterusan sehinggalah kita dijemput menghadap tuhan. Allah berfirman yang bermaksud: Dia yang mencipta kehidupan dan kematian untuk menguji kamu; siapakah diantara kamu yang melakukan amalan yang terbaik.(AlMulk: 2)

Pendaftaran peperiksaan agung ini adalah ketika mana kita semua berada di alam ruh. Firman Allah: Dan ingatlah wahai Muhammad ketika mana tuhanmu mengeluarkan ruh-ruh anak-anak adam dari tulang sulbi bapa mereka ketika tuhan berkata “Bukankah aku tuhan kau’. Mereka menjawab “Ya, kami akui dan kami saksikan.” Ini adalah supaya mereka tidak berkata di hari kiamat “Kami telah lalai dan lupa terhadap perjanjian ini”. (Al-A’raf: 179).

‘Imtihan agung’ ini bukannya dengan menulis atas kertas jawapan atau yang dipanggil peperiksaan bertulis,tetapi imtihan agung ini adalah berbentuk Imtihan amali(praktikal). Adapun arahan-arahan dan soalan-soalan imtihan agung ini berada dalam Al-Quran dan Hadis. Imtihan agung ini diawasi oleh dua pegawai peperiksaan yang menjawat jawatan jawatan Katibin (malaikat penulis) yang disifatkan tuhan sebagai Raqib (yang menulis dan mencatat amalan) dan Atid (yang sentiasa bersama manusia dan tidak berpisah) yang mana mereka berdua akan menulis setiap perbuatan atau perkataan kita. Firman Allah: Dan sesungguhnya terdapat malaikat penjaga pada setiap manusia. Mereka yang mulia dan menulis setiap perbuatan dan perkataan manusia. Mereka mengetahui apa yang manusia lakukan. (Al-Infitor: 10-12). Firman Allah: Setiap perkataan yang terbit dari mulut manusia akan dicatit oleh malaikat yang bersifat Raqib (yang menulis amalan) lagi Atid (sentiasa berada disamping manusia dan tidak berpisah). (Qaf: 18). Imam Malik berkata: Malaikat pencatat ini menulis semua perkara yang keluar daipada hamba sehinggalah bunyi rengekan pun akan dicatat. (Ibid: 259). Dua pegawai imtihan yang menjawat jawatan pegawai pencatat ini adalah amat jujur dan amanah sekali dalam menjalankan tanggungjawab mereka kerana mereka adalah malaikat.

Inilah imtihan yang sebenar perlu kita jawab dengan jawapan yang terbaik supaya ianya diterima oleh Allah. Mereka yang berjaya dalam peperiksaan ini akan diberikan ganjaran syurga di akhirat dan mereka yang gagal akan ke neraka. Pengiraan markah dalam peperikasaan agung ini adalah amat telus dan amat teliti. Firman Allah: Maka sesiapa yang berbuat baik seberat biji sawi nascaya Allah akan membalasnya. Dan sesiapa yang berbuat jahat seberat biji sawi nescaya Allah akan membalasnya. (Az-Zalzalah: 7,8) Ketahuilah sahabat-sahabat bahawa buku yang ditulis oleh dua orang pegawai pepereksaan (Malaikat pencatat amalan) akan diperlihatkan kepada kita di akhirat kelak.

Kita dapat mengetahui keputusan peperiksaan agung ini dengan kita menerima ‘buku rekod peperiksaan’. Jika kita menerima dengan tangan kanan maka itu tandanya kita lulus dalam peperiksaan tersebut dan akan menerima balasan yang terbaik. Marilah sama-sama kita selami dan renungi bagaimana situasi dan keadaan mereka yang berjaya dalam peperiksaan agung ini; ketika mereka menerima keputusan , seperti yang disebut dalam al-Quran. Firman Allah: "Maka adapun orang yang beriman yang menerima buku amalannya dengan tangan kanannya seraya mereka berkata “Ambillah wahai manusia kitab amalanku ini dan bacalah. Kejayaanku ini kerana aku yakin bahawa aku percaya aku akan dihisab di hari kiamat." (Al-Haqqoh: !9,20). Rentetan dari kejayaan yang telah mereka perolehi, Allah telah memberi kehidupan yang amat bahagia sekali kepada mereka. Firman Allah: "Maka mereka yang mendapat kitab amalannya dengan tangan kanan berada dalam kehidupan yang amat bahagia dan amat menenyenangkan sekali. Mereka berada dalam tempat yang amat mewah sekali dan berkelas tinggi iaitu syurga. Istana-istana mewah mereka terdapat pohon buah buahan yang rendang dan berhampirann dengan kediaman mewah mereka. (Al-Haqqoh: 21-23). Firman Allah: "Maka adapun mereka yang menerima kitab amalannya dengan tangan kanannya ; maka dia akan dihisab amalannya dengan cara yang mudah. Dia akan kembali kepada keluarganya dan teman-temannya dalam keadaan yang amat seronok sekali." (Al-Insyiqaq: 7-9). Berkata Imam al-Qurtubi: Sesungguhnya hisab mudah yang disebut dalam ayat ialah akan dibentang dan ditunjukkan amalan orang yang beriman supaya dia mengetahui anugerah Allah kepadanya disebabkan Allah telah menutup kesalahannya di dunia dan memmaafkannya ketika di akhirat. (Fathul Bari 17: 394). Begitulah kehebatan dan keindahan nikmat yang dikecapi mereka yang berjaya dalam peperiksaan yang dianjurkan oleh tuhan.

Adapun mereka yang gagal dalam peperiksaan agung ini dapat diketahui ketika mereka menerima buku ‘rekod peperiksaan’ dengan tangan kiri. Firman Allah: "Dan adapun mereka yang mendapat buku amalan dengan tangan kiri, maka dia berkata “alangkah baiknya kalau aku tidak mendapat buku amalan ini; dan aku tidak mengetahui terhadap perhitungan amaln ini (hisab).. Alangkah baiknya kematianku dahulu menjadi penghujung bagi kehidupanku (tidak mahu hidup dialam barzakh dan alam akhirat). Tidak bergunalah segala hartaku yang kuhimpunkan kerana tidak dapat menolak segala azab di akhirat. Telah binasalah dan lenyaplah segala kekuasaanku.” (Al-Haqqoh: 25-29). Begitulah keadaannya sahabat-sahabat sekalian situasi genting dan amat mencemaskan yang berlaku kepada mereka yang gagal dalam ‘imtihan agung’ ini. Seterusnya marilah kita sama-sama mengetahui tindakan dari segi undang-undang tuhan kepada mereka yang tidak berjaya dalam ‘peperiksaan agung’ ini dan menerima ‘buku rekod amalan’ dengan tangan kiri sebagai sambungan kisah diatas pada ayat yang seterusnya. Firman Allah: "Kemudian Allah berkata kepada Zabaniah (malaikat penjaga neraka) “Ambillah penjenayah yang menerima ‘buku amalan’ dengan tangan kiri ini dan ikat dia dengan rantai besi.. Kemudian bakarlah dia dengan api neraka yang marak menyala. Kemdian masukkan dia kedalam rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta dan lilit rantai ini keseluruh tubuhnya sehingga dia tidak bergerak.” (Al-Haqqoh: 30-32) Begitulah nasib yang menimpa kepada mereka yang gagal dalm peperiksaan agung ini dan menerima ‘buku rekod amalan ‘dengan tangan kiri. Sekarang mari kita meninjau nasib mereka yang gagal dalam peperiksaan agungnya dan menerima ‘buku rekod amalan’ dari arah belakangnya. Firman Allah: "Dan adapun mereka yang menerima buku amalannya dari arah belakangnya, maka dia akan memaki hamun diri dia sendiri dan akan masuk ke dalam api nara yang marak." (Al-Insyiqaq: 10-12). Marilah kita melihat dengan mata hati kita bagaimana keadaan yang amat mencemaskan dan menyedihkan yang menimpa kepada mereka yang mendapati buku amalannya penuh dengan kejahatan.. Firman Allah: "Dan dibentangkan buku amalan manusia untuk diperlihatkan kepda manusia. Maka mereka yang melakukan kejahatan di dunia melihat buku tersebut dalam keadaan yang amat takut sekali kerana tercatat pada buku tersebut semua dosa-dosa besar dan dosa kecil yang telah mereka lakukan di dunia. Seraya mereka berkata “Aaah celakalah kami dan binasalah kami kerana kitab ini mencatat segala perkara dari sekecil-kecil dosa yang telah kami lakukan sehinggalah sebesar2 dosa. Mereka mendapati segala apa yang telah mereka telah lakukan di dunia tercatat dalam buku tersebut, Dan Tuhan kamu sesakali tidak menzalimi sesiapa pun. (Al-Kahf: 49).

Begitulah sahabat-sahabat sekalian betapa dahsyatnya balasan kepada mereka yang gagal dalam peperiksaan agung ini. Berbanding dengan kegagalan peperiksaan buatan manusia yang tidak menunjukkan kepada kegagalan dalam hidupnya buat selamanya. Berapa ramai mereka yang berjaya dalam peperiksaan buatan manusia tetapi gagal dalam kehidupannya. Betapa ramai juga yang gagal dalam peperiksaan buatan manusia tetapi berjaya dalam kehidupannya. Ulama ada menyebut: Janganlah kamu berbangga dengan segala sijil yang engkau miliki. Kebarangkalian sijil-sijil itu akan menyebabkan engkau jauh daripada Allah. Dengan sijil-sijil ini menyebabkan kita sombong dan berbangga dengan apa yang kita miliki. Dengan sijil-sijil ini kita mengaut kekayaan semata-semata dan kita lupa untuk beramal dengan ilmu kita sedang kita tahu bahawa sifat sombong dan menghimpun kekayaan ini adalah sifat ahli neraka.

Jika kita perhatikan diri kita dengan mata hati kita, nescaya kita dapati kita adalah penuntut sijil bukannya penuntunt ilmu yang sebenaranya. Ini disebabakan kita membaca buku, menadah kitab, muzakarah kitab, menghafal kitab hanyalah bersifat seasonal atau bermusim iaitu ketika hampir dengan waktu imtihan.

Marilah kita sama2 muhasabah diri dan tajdid niat kita kembali.Jadikanlah imtihan dunia yang kita akan hadapi sebagai satu wasilah untuk kita mengulangkaji kembali dan menambahkan lagi ingatan kita terhadap ilmu yang kita pelajari.Semoga kita sama2 dapat amal dan sampaikan.Semoga Allah memberi keberkatan ilmu kepada kita semua sekaligus berjaya di dalam imtihan dunia mahupun imtihan akhirat.


SALAM IMTIHAN

.............DOAKAN KEJAYAAN KITA BERSAMA............

UNTUK RENUNGAN ... REZEKI


Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".

Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku". Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".
Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa". Itulah Iman Semut!!

IMAN MANUSIA??

Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat.

Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik kerumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik.

Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di INTERVIEW oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur. Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?".

Jawab Imam Suffian:" Diakhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya bahawa rezeki di tangan Tuhan". Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya, iman dia akan beralih. Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia.

Kata Saidina Ali kepada Kamil: " ILMU ITU LEBIH BAIK DARIPADA HARTA, ILMU MENJAGA ENGKAU DAN ENGKAU MENJAGA HARTA, ILMU MENJADI HAKIM, HARTA DIHAKIMKAN, HARTA BERKURANGAN APABILA DIBELANJAKAN DAN ILMU BERTAMBAH APABILA DIBELANJAKAN".